Friday, July 8, 2011

Zolkples cabar atlet/harian metro/08072011

“CONTOHI trio memanah negara”. Itu gesaan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong kepada seluruh atlet negara terutamanya yang tersenarai dalam program Road to London 2012.

Menurut Zolkples walaupun terdapat pihak yang menggesa memanah digugurkan daripada program terbabit selepas kegagalan di Sukan Komanwel dan Asia pada hujung tahun lalu, mereka bangkit untuk menjadi kumpulan pertama layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.


“Atlet lain yang belum melayakkan diri terutamanya menembak perlu meningkatkan usaha. Trio terbabit yang disertai dua pemanah muda perlu dijadikan contoh,” katanya ketika diminta mengulas kejayaan Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad layak ke Sukan Olimpik 2012, kelmarin.

Trio yang diketuai pemanah berpengalaman, Chu Sian mengharungi pertarungan penuh dramatik sebelum berjaya menjadi pasukan kesembilan terbaik sekali gus menempah tiket bersama-sama Korea Selatan, Perancis, Mexico, Itali, Ukraine, China dan Amerika Syarikat manakala Great Britain layak automatik selaku tuan rumah.


“Kini mereka boleh memberikan tumpuan untuk membuat persediaan menghadapi temasya itu. MSN akan berbincang bersama Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) selepas ini bagi merencanakan program pendedahan bersesuaian bagi meningkatkan lagi prestasi mereka.


“Malah usaha untuk mencapai kilauan pingat tidak mustahil untuk dilakukan jika tumpuan sepenuhnya diberikan pada hari kejohanan kerana memanah adalah sukan yang tidak membabitkan sebarang sentuhan cuma kekuatan diri sendiri saja.

“Mereka sudah membuktikan dengan menewaskan India (pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2010) serta Poland yang dianggap lebih kuat,” katanya.


Zolkples turut mendedahkan berita gembira kepada Haziq dan Khairul Anuar apabila bakal tersenarai dalam program Road to London berikutan kejayaan yang dicapai itu selain ketiga-tiga pemanah terbabit juga bakal dibayar elaun RM2,000 sebulan bermula bulan depan.

Selain memanah, sukan yang berada dalam program Road to London 2012 adalah badminton, hoki, terjun, menembak dan bola sepak.


Sesetengah daripadanya masih belum beraksi pada peringkat kelayakan seperti hoki dan terjun manakala bola sepak dan badminton sudah dalam proses memburu tiket.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...