Program Youth Olympic Games 2014 adalah salah satu program yang akan dijalankan dengan kerjasama Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara dan juga Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia. Program selama empat tahun ini bakal dijalankan sebagai persediaan menjelangnya sukan YOG 2014 yang akan berlansung di Aisle of Man. Sebagai persediaan, atlet yang berumur 13 dan 14 tahun akan dikenalpasti dan dipilih untuk dilatih untuk tujuan tersebut.
Program ini difikirkan perlu dilaksanakan atas sebab kegagalan atlet remaja kita gagal melayakkan diri menyertai YOG 2010 yang telah berlangsung di Singapura tahun ini. Selain itu, atlet yang akan terpilih dalam program ini juga adalah sebagai pelapis kepada program pelapis serantau, pelapis kebangsaan dan juga elit. Program yang bertindak sebagai serampang dua mata ini merupakan program khas yang perlu dijalankan supaya keperluan atlet-atlet yang berpotensi untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa pada masa hadapan dapat dilahirkan.
KUALA TERENGGANU: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak bercadang mengkomersialkan spesies cicak jenis 'gekko-gecko' yang kini menjadi buruan ramai bagi dijadikan ubat tradisional sebagai satu perusahaan, seperti burung walit atau belut, yang turut terkenal dengan khasiat tinggi untuk kesihatan.
Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharom, berkata kementeriannya tidak bertanggungjawab ke atas haiwan spesies itu, melainkan unggas seperti burung walit dan belut yang diletakkan di bawah kendalian kementeriannya.
“Kalau ada yang berminat untuk jadikan cicak ini sebagai satu perusahaan, ia sama seperti perusahaan lintah dan kedua-duanya bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sebaliknya mereka boleh rujuk pada jabatan lain yang berkaitan.
“Ia berbeza dengan perusahaan burung walit kerana ia spesies unggas dan kita boleh membantu mereka ini (pengusaha burung walit) kerana ia memang terletak di bawah bidang kuasa kita,” katanya selepas majlis perasmian Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Peringkat Negeri Terengganu (MAHA) Mini di sini, yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, malam kelmarin.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Hashim Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Asha'ari Idris.
Cicak dikenali sebagai gekko-gecko itu dilaporkan menjadi buruan ramai berikutan harganya mencecah RM30,000 seekor dan haiwan itu dikatakan menerima permintaan tinggi di kalangan penggemar makanan eksotik berikutan khasiat kesihatannya yang tinggi. Setakat ini beberapa individu di Sabah, Kedah, Perak serta Terengganu mula menjadikan aktiviti mencari cicak yang lebih dikenali sebagai Pokke di kalangan penduduk tempatan secara serius, malah ramai yang mahu menjadikan ia satu perniagaan sama seperti ternakan haiwan lain seperti lintah dan burung walit.
Mohd Johari berkata, kecenderungan pihak tertentu memburu reptilia berkenaan mungkin bersifat sementara dan bermusim kerana penggunaannya dikatakan hanyalah untuk perubatan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak yang mengetahui sama ada ia digunakan dalam industri perubatan atau dijadikan sumber makanan oleh golongan tertentu yang mungkin percaya ia mempunyai khasiat menyembuhkan penyakit sama seperti sarang atau air liur burung walet.
INFO: Cicak gekko-gecko
Di Indonesia dan Pulau Jawa ia dikenali sebagai Tokek.
Tergolong dalam keluarga cicak Gekkonidae.
Haiwan ini tersebar luas bermula dari India timur, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Thailand, Semenanjung Malaysia dan pulau sekitarnya, Sumatera, Jawa, Borneo, Sulawesi, Lombok, Flores, Timor, Aru dan Kepulauan Filipina.
Dipercayai ada lebih 2,000 spesies cicak gecko-gecko di seluruh dunia yang belum lagi dijumpai.
Cicak berkenaan kerap ditemui di pokok dalam pekarangan rumah, terutama di kampung dan tepi hutan.
Spesies terbesar dikenali Kawekaweau dengan panjang badannya 60cm. Spesis terkecil ialah Jaragua Sphaero dengan panjangnya 16mm.
Dipercayai apabila mencecah berat 350 gram ke atas, ia boleh mengeluarkan enzim yang mampu mengubati penyakit HIV/AIDS, sakit kulit dan asma.
TIADA jaminan tempat buat empat pemanah termasuk dua pemanah Olimpik yang disenarai dalam Road to London ketika hanya tiga slot disediakan dan akan dinilai menerusi pencapaian terbaik, bermula tahun ini.
Perkara itu disahkan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Lee Jae-hyung ketika empat anak buahnya termasuk dua pemanah muda yang diserap menyertai elit, awal tahun ini, Fazli Hisham Fauzi (ranking 209) dan Arif Farhan Ibrahim Putra (83) adalah antara 21 atlit yang disenarai dalam Road to London.
Dua pemanah muda berusia 19 dan 20 tahun itu selain pemanah Olimpik, Wan Mohd Khalmizam Wan Abdul Aziz yang berada pada ranking 52 dunia, dilihat mendapat tuah atas tiket pasukan memanah Malaysia yang berada di tangga kelima dunia ketika ini. Sementara pemanah paling konsisten, Cheng Chu Sian tampak berada dalam zon selesa apabila menduduki ranking 12 dunia.
“Pemanah perlu memperbaiki dan membuktikan prestasi daripada sekarang, kerana bukan sekadar hanya tiga pemanah akan mewakili negara beraksi di Olimpik London, 2012, tetapi calonnya akan turut beraksi di pentas kelayakan iaitu setahun sebelum kejohanan berprestij itu,” kata Jae-hyung.
“Lantas, hanya tiga yang terbaik akan menjadi pilihan.”
Syarat itu turut disasarkan menjelang kejohanan utama akhir tahun ini iaitu Sukan Asia dan Komanwel yang juga menyediakan tempat untuk tiga pemanah saja. Seramai 21 atlit dalam senarai Road to London membabitkan badminton (8), basikal (5), terjun (5) dan memanah (4) sehingga kini dan pemilihan berdasarkan ranking terbaik dunia.
Atlit yang kekal disenarai dalam tempoh setahun sebelum berlangsungnya temasya sukan berprestij di London akan menerima kelebihan termasuk elaun tambahan RM2,000 sebulan.
MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak mahu mensia-siakan pengalaman dan bakat dimiliki bekas pemanah kebangsaan Muhammad Marbawi Sulaiman, meskipun pemanah Olimpik Beijing 2008 itu memutuskan untuk mengundur diri dan tidak lagi berada dalam program Road To London 2012, genap setahun selepas ia dilancarkan.
Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Mohd Ghani mengesahkan pemanah terbabit tidak lagi berada dalam program terbabit yang kini dibarisi Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz dan Nazrin Aizat Mat Nasir apabila mahu memberi tumpuan terhadap bidang kejurulatihan.
“Secara rasminya Marbawi sudah tidak berada dalam program berkenaan tahun ini kerana ingin menjadi jurulatih. Mesyuarat jawatankuasa kerja kecil sukan terbabit dengan MSN bersetuju dengan cadangan terbabit.
“Kita hormati permintaannya malah ketika ini kita kekurangan jurulatih tempatan. Dia mempunyai pengalaman luas sebagai atlit dan ini akan banyak membantu,” katanya.
Jelasnya, ketika ini pihaknya masih mencari pengganti sesuai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marbawi memandangkan program terbabit membabitkan empat atlit untuk membentuk satu pasukan memanah. Malah Marbawi sendiri ketika dihubungi mengakui minatnya sudah beralih ke bidang kejurulatihan selepas gagal mempamerkan aksi membanggakan justeru menganggap tiada gunanya kekal dalam program terbabit.
“Cuma saya masih belum mendapat sebarang hitam putih daripada MSN yang mengesahkan saya sebagai jurulatih tapi buat masa ini saya banyak membantu Kim Jae Rack melatih atlit pelapis,” katanya.
Sementara itu mengenai perkembangan program terbabit, Ariffin berkata MSN berpuas hati dengan perkembangan semua atlit terbabit sepanjang program itu diperkenalkan meskipun ada atlit mencatat prestasi turun naik, tidak kurang ada yang mengalami kecederaan.
“Kita melihat semua sukan mempunyai program tersendiri yang disusun oleh jurulatih, malah setiap sukan mendapat sokongan elemen sains sukan untuk meningkatkan prestasi atlit masing-masing,” katanya.
Selain empat atlit memanah, program Road To London 2012 turut dibarisi Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Kiat, Tan Boon Heong, Fairuzizuan Tazari, Mohd Zakry Latif, Wong Mew Choo, Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty dari sukan badminton, Mohd Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin, Muhammad Edrus Md Yunos dan Junaidi Nasir (berbasikal) serta Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong (terjun).
Program dengan kos RM16 juta itu yang sebelum ini dilancar bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mampu memenuhi harapan negara meraih pingat emas pertama Olimpik di London, selepas Chong Wei membawa pulang pingat perak dari Beijing dua tahun lalu.
Sukan memanah di Malaysia dilihat semakin membangun setanding dengan sukan-sukan lain seperti badminton, hoki, bola sepak dan sebagainya. Sukan ini semakin menyerlah dan mendapat sambutan setelah pemanah-pemanah kita berjaya melayakkan diri menyertai Sukan Olimpik. Walaupun kita baru setahun jagung namun kita mampu bersaing diperingkat antarabangsa. Malah, dalam sesetengah pertandingan peringkat antarabangsa, pasukan Malaysia menjadi pasukan yang digeruni setanding dengan korea selatan dan eropah. Walau bagaimana pun, kita harus sentiasa berusaha keras agar mutu sukan memanah terus maju dan berkembang di seluruh Malaysia.