MAJLIS Sukan Negara (MSN) tidak mahu mensia-siakan pengalaman dan bakat dimiliki bekas pemanah kebangsaan Muhammad Marbawi Sulaiman, meskipun pemanah Olimpik Beijing 2008 itu memutuskan untuk mengundur diri dan tidak lagi berada dalam program Road To London 2012, genap setahun selepas ia dilancarkan.
Pengarah Cawangan Elit MSN, Ariffin Mohd Ghani mengesahkan pemanah terbabit tidak lagi berada dalam program terbabit yang kini dibarisi Cheng Chu Sian, Wan Mohd Khalmizam Wan Abd Aziz dan Nazrin Aizat Mat Nasir apabila mahu memberi tumpuan terhadap bidang kejurulatihan.
“Secara rasminya Marbawi sudah tidak berada dalam program berkenaan tahun ini kerana ingin menjadi jurulatih. Mesyuarat jawatankuasa kerja kecil sukan terbabit dengan MSN bersetuju dengan cadangan terbabit.
“Kita hormati permintaannya malah ketika ini kita kekurangan jurulatih tempatan. Dia mempunyai pengalaman luas sebagai atlit dan ini akan banyak membantu,” katanya.
Jelasnya, ketika ini pihaknya masih mencari pengganti sesuai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Marbawi memandangkan program terbabit membabitkan empat atlit untuk membentuk satu pasukan memanah. Malah Marbawi sendiri ketika dihubungi mengakui minatnya sudah beralih ke bidang kejurulatihan selepas gagal mempamerkan aksi membanggakan justeru menganggap tiada gunanya kekal dalam program terbabit.
“Cuma saya masih belum mendapat sebarang hitam putih daripada MSN yang mengesahkan saya sebagai jurulatih tapi buat masa ini saya banyak membantu Kim Jae Rack melatih atlit pelapis,” katanya.
Sementara itu mengenai perkembangan program terbabit, Ariffin berkata MSN berpuas hati dengan perkembangan semua atlit terbabit sepanjang program itu diperkenalkan meskipun ada atlit mencatat prestasi turun naik, tidak kurang ada yang mengalami kecederaan.
“Kita melihat semua sukan mempunyai program tersendiri yang disusun oleh jurulatih, malah setiap sukan mendapat sokongan elemen sains sukan untuk meningkatkan prestasi atlit masing-masing,” katanya.
Selain empat atlit memanah, program Road To London 2012 turut dibarisi Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Kiat, Tan Boon Heong, Fairuzizuan Tazari, Mohd Zakry Latif, Wong Mew Choo, Chin Ee Hui dan Wong Pei Tty dari sukan badminton, Mohd Azizulhasni Awang, Josiah Ng, Mohd Rizal Tisin, Muhammad Edrus Md Yunos dan Junaidi Nasir (berbasikal) serta Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong (terjun).
Program dengan kos RM16 juta itu yang sebelum ini dilancar bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat mampu memenuhi harapan negara meraih pingat emas pertama Olimpik di London, selepas Chong Wei membawa pulang pingat perak dari Beijing dua tahun lalu.
No comments:
Post a Comment