TIGA atlet memanah negara yang dibarisi Cheng Chu Sian, Haziq Kamaruddin dan Khairul Anuar Mohamad menjadi kumpulan atlet pertama Malaysia mengesahkan tempat beraksi di Sukan Olimpik 2012 London menerusi acara recurve berpasukan.
Trio yang menggandingkan muka lama dan baru itu turut mengesahkan tiga tiket untuk beraksi dalam acara recurve individu selepas berjaya menewaskan Poland dengan kelebihan dua mata apabila meraih 219 mata pada pertarungan yang berlangsung di Torino, Itali, semalam.
Namun  tiket itu diraih dengan penuh dramatik apabila peluang barisan pemanah  negara itu pada awalnya tertutup selepas gagal layak ke suku akhir  berikutan tewas kepada Perancis dalam play-off (terikat 216 mata) di  pusingan pertama.
Ia kemudiannya memaksa penentuan tiga panahan terbaik dijalankan dan sekali lagi terikat 26 mata namun Malaysia membuat bantahan selepas berlaku masalah teknikal yang seterusnya memaksa tiga panahan lagi dilakukan namun kali ini trio negara tewas apabila mengumpul 26 mata manakala lawan, 27.
Keputusan itu sekali gus menggagalkan  usaha anak buah ketua jurulatih negara, Lee Jae-hyung menjadi lapan  pasukan terbaik untuk tiket automatik ke Olimpik London, namun Malaysia  nyata bernasib baik apabila Great Britain yang juga tuan rumah kejohanan  itu turut layak ke suku akhir.
Ia sekali gus memberi peluang  kedua kepada trio negara serta tujuh pasukan lain yang gagal layak ke  suku akhir, namun Malaysia yang berjaya akhirnya untuk layak buat kali  kedua berturut-turut apabila menewaskan Poland dalam aksi terakhir  selepas menewaskan Kanada dan India sebelum itu.
“Ini adalah satu kejayaan yang menggembirakan selepas kami berusaha dengan keras untuk layak ke Olimpik 2012 sekali gus mengulangi pencapaian 2008 di China. Sebelum ini prestasi kami tidak konsisten namun dengan pencapaian ini ternyata pemanah negara sudah mempamerkan peningkatan,” kata Jae-hyung.
Menurutnya, selepas tewas kepada  Perancis, mereka kekal fokus dari segi mental dan fizikal untuk merebut  satu lagi tiket selepas menyedari Great Britain turut layak ke suku  akhir dan akhirnya Kanada (222-216), India (225-219) serta Poland  (219-217) menjadi mangsa dalam laluan Malaysia untuk ke London.
Kejayaan itu pastinya menceriakan Jae-hyung dan Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) selepas melakukan percaturan berani apabila menghantar dua pemanah muda, Haziq dan Khairul Anuar berbanding tiga lain pemanah yang lebih berpengalaman.
 

No comments:
Post a Comment